Wednesday, March 25, 2009

CERAMAH KERJAYA PELAJAR SEMESTER 4

24 Mac 2009, Selasa- Pelajar-pelajar semester 4 seramai 63 orang menjalani program ceramah kerjaya yang bertempat di Dewan Syarahan KKBD. Program tersebut bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengahari. Penceramah jemputan untuk ceramah ini adalah pensyarah daripada Akademi Binaan Malaysia iaitu En Mad Noor. Beliau menerangkan tentang kerjaya yang bersesuaian dengan pelajar dan peluang yang bakal di perolehi oleh pelajar selepas tamat pengajian di Kolej Komuniti. Pelajar adalah digalakkan untuk memohon pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menambah kemahiran yang sedia ada sebelum bekerja dan mengambil kekompetenan dalam bidang kemahiran yang diminati. Dengan adanya kursus seperti ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengatur masa depan mereka. Semoga kursus seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

LAWATAN KERJA PENSYARAH KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN KE STESEN JANAKUASA CHENDEROH

12 Mac 2009, Khamis – seramai 10 orang Pensyarah kursus STE telah mengadakan lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Chenderoh. Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk melihat sendiri stesen janakuasa tersebut dan melihat perlaksanaan 5S yang digunapakai disana.


Stesen Janakuasa Chenderoh terletak di Sungai Perak kira-kira 52km ke hilir Stesen Janaelektrik Hidro Kenering dan kira-kira 34km melalui jalanraya ke utara Bandar Diraja Kuala Kangsar. Pembinaan empangan telah mewujudkan sebuah kolam air seluas lebih kurang 21km persegi pada bekalan air penuh. Dengan mempunyai kawasan tadahan seluas 6500km persegi, empangan ini dapat menakung 95,000,000 meter padu air digunakan sebagai simpanan aktif. Stesen ini telah beroperasi pada Jun 1930 dan stesen ini adalah salah satu daripada stesen hidro yang tertua di Asia Tenggara. Empangan ini adalah jenis Hollow Amberson yang berasaskan kepada granit. Ianya adalah struktur konkrit tetulang yang mempunyai aras kemuncak 59.8m. panjang keseluruhan empangan ialah 390m termasuk 209m alurlimpah dan 305m pembukaan bebas untuk sector gate. Keupayaan maksima lepasan empangan ini direkabentuk untuk 13,314 meter padu sesaat.

Stesen janaelektrik Chenderoh mempunyai 4 unit generator menggunakan kuasa air. Tiga unit generator adalah terdiri daripada mesin jenis tarbin Francis berkeupayaan 10MW, 136.4rpm,11.1kVA, 0.9AK dengan 50Hz arus ulang alik setiap satu. Satu unit generator mesin no 4 adalah jenis turbine propeller berkeupayaan 8MW,200rpm disambung menerusi kotak gear 1:5 kepada janakuasa aruhan berkelajuan 1,100 rpm. Unit ini ditempatkan dalam bangunan yang berasingan dibahagian hilir alurlimpah yang disebelah kiri sungai. Mesin ini juga telah dipertingkatkan keupayaan dari segi keselamatan serta kemudahan operasi kawalan jauh (remote control) dari BGCC Bersia.

Projek pemulihan yang dilaksanakan bertujuan untuk melanjutkan lagi usia operasi stesen janaelektrik Chenderoh untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 50 tahun lagi atau lebih. Bidang kerja kontrak pemulihan merangkumi penukaran kesemua loji penjanaan yang sedia ada yang telah berusia 65 tahun kepada yang baru dengan keupayaan yang sama iaitu 3 x10MW dan juga pembinaan lapangan suis baru 132kv untuk menggantikan lapangan suis 66kv. Kerja-kerja pemulihan ini meningkatkan lagi kecekapan, berdayaharap dan keselamatan operasi ke tahap piawai masa kini. Dengan adanya loji penjanaan yang moden dan cekap, purata keluaran tahunan tenaga stesen janaelektrik dijangkakan akan meningkat kira-kira 7% kepada 263GWj dari 248GWj.


Setelah menempuh pelbagai kesulitan, stesen ini berjaya merangkul pelbagai kejayaan demi kejayaan, dengan mendapat anugerah Emas dari Persatuan Keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sementara didalam audit SEMS stesen ini telah mendapat 5 bintang berturut-turut iaitu dari tahun 2001 hingga 2004. pada 20 jun 2003, stesen ini telah dianugerahkan persijilan ISO 14001 oleh pihak SIRIM. Disamping itu ia telah merangkul tempat pertama didalam pertandingan lanskap bagi kategori bangunan swasta peringkat negeri perak pada tahun 2003 dan 2004. stesen janaelektrik Chenderoh juga telah mendapat persijilan ISO 9001:2000 dibawah pengurusan stesen-stesen janaelektrik Sungai Perak.

Banyak perkara baru yang dapat dipelajari oleh pensyarah-pensyarah yang mengikuti lawatan ini berkaitan perlaksanaan 5S ditempat kerja. Dengan amalan 5S yang berterusan dapat memastikan peralatan-peralatan sentiasa disusun dan dikemaskini dan mudah di cari. Objektif lawatan ini adalah untuk memantau dan melihat bagaimana perlaksaan 5S di Chenderoh seterusnya dapat dijadikan contoh amalan 5S tersebut di KKBD.


Label pada setiap bahagian kabinet memudahkan rujukan

Penyusunan fail dan label fail mengikut sistem 5S di TNB Chenderoh