Wednesday, December 30, 2009

Penutup Aktiviti Program STE 2009

Keseluruhannya, aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan oleh Unit Sijil Teknologi Elektrik telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Melalui aktiviti-aktiviti dan program yang telah dilaksanakan diharap dapat membantu meningkatkan jati diri pelajar, memupuk budaya kerja berpasukan dan semangat kerjasama antara pelajar dan pensyarah di dalam merealisasikan kehidupan seharian. Selain itu, matlamat utama unit STE untuk meningkatkan softskills pelajar – pelajar STE dapat direalisasikan melalui program-program yang dianjurkan ini. Warga STE sentiasa mengharapkan penglibatan pelajar yang berterusan demi meningkatkan kemahiran pelajar dalam semua lapangan. Sejajr dengan itu, ketua program bersama-sama pensyarah-pensyarah STE sentiasa berusaha merancang dan menjalankan program –program berbentuk hardskills dan softskills untuk perkembangan dan peningkatan diri para pelajar dari semasa ke semasa.

Wednesday, November 25, 2009

KURSUS GREENCARD

19 November 2009, Khamis- seramai 47 orang pelajar semester 2 kursus STE telah menjalani latihan industri menghadiri kursus GreenCard yang diadakan di Dewan Syarahan KKBD. Tujuan kursus ini dijalankan adalah selaras dengan kehendak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Ini bertujuan untuk keselamatan dan perlindungan pekerja ditapak kerja. Mengikut peraturan CIDB, sesiapa yang menjalankan kerja-kerja pemasangan di tapak projek atau tempat yang seumpamanya wajib memiliki GreenCard. Pekerja akan dilindungi dengan insuran jika berlaku kemalangan di tempat kerja. Objektif kursus ini ialah pelajar dapat mengetahui peraturan-peraturan dalam tempat kerja disamping dapat mengamalkan ciri-ciri keselamatan yang betul di tempat kerja. Diakhir sesi kursus pelajar memperolehi green card setiap seorang dan seterusnya mereka dilindungi oleh syarikat insuran.


PROGRAM PENINGKATAN KEMAHIRAN PELAJAR STE

9 November 2009, Isnin- seramai 107 orang pelajar dan semua pensyarah telah terlibat dengan program peningkatan kemahiran pelajar. 85 orang merupakan peserta pertandingan dan 22 orang merupakan ahli jawatankuasa yang turut sama membantu menjayakan program ini. Antara kategori yang dipertandingkan ialah pertandingan pendawaian elektrik, pertandingan kawalan motor dan pertandingan model dan prototaip. Pertandingan pendawaian elektrik telah diadakan di Bengkel Pemasangan Elektrik, manakala pertandingan kawalan motor diadakan di Bengkel Teknologi Elektrik dan pertandingan model yang diadakan di dewan syarahan. Tujuan pertandingan ini diadakan ialah untuk menguji kemahiran peserta dalam pendawaian elektrik, kawalan motor dan kreativiti masing-masing. Pelajar –pelajar yang terlibat dengan program peningkatan kemahiran pelajar samaada sebagai urusetia dan peserta akan diberikan hadiah saguhati dan sijil penyertaan. Manakala peserta pertandingan yang menang dalam pertandingan tersebut akan diberikan hadiah pada majlis penutup kelak. Pertandingan telah tamat pada pukul 2.00 petang dan makanan disediakan untuk pelajar dan pensyarah. Kesimpulannya aktiviti ini berjaya mendapat sambutan daripada pelajar serta pelajar dapat menunjukkan kemahiran masing-masing. Harapan unit STE pada masa akan datang program seperti ini dapat diteruskan kerana melalui program ini pelajar dapat mengasah bakat, kemahiran serta meningkatkan daya inovasi dan kreativiti masing-masing. disamping itu juga pelajar dapat memupuk hubungan yang lebih erat antara pensyarah dan pelajar sendiri.

Pelajar-pelajar sedang menjawab soalan panel pengadil
bagi pertandingan kawalan motor

Tuesday, October 27, 2009

AKTIVITI SEMANGAT BERPASUKAN

26 Oktober 2009, Isnin- Seramai 87 orang pelajar terlibat dengan aktiviti semangat berpasukan yang diadakan di dewan syarahan Kolej Komuniti Bandar Darulaman dan bilik masakan unit kursus pendek. Pelajar yang terlibat ialah daripada kelas STE 1A,STE1C,STE2B dan STE4A. Manakala seramai 4 orang pensyarah yang terlibat bagi menjayakan program ini yang terdiri daripada Cik Badzlina, Pn Norzeti, Pn Suraya dan En Wan Mahdzir. Para pelajar semester 4 iaitu STE 4A telah di tugaskan untuk pertandingan masakan. Mereka telah dibahagikan kumpulan dan diberikan resepi oleh pihak urusetia. Mereka diberikan masa selama 2 jam untuk menyediakan masakan tersebut, menu yang berjaya disediakan ialah asam pedas ikan kembung dan sayur kubis. Pihak juri memberikan markah berdasarkan kepada menu yang dihidangkan, manakala pelajar-pelajar yang lain terlibat dengan aktiviti permainan dalam kumpulan yang diadakan di dewan syarahan. Kesimpulannya, aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk membuat keputusan bersama dan ketua kumpulan menyampaikan arahan yang jelas kepada ahli kumpulan dapat memberikan impak yang baik kepada kumpulan masing-masing.


Pelajar-pelajar STE 4A sedang memasak di unit Kursus Pendek

Pelajar-pelajar berbincang sesama ahli kumpulan
mengenai tugasan yang diberikan

Sunday, October 25, 2009

AKTIVITI KEROHANIAN

12 Oktober 2009, Isnin- seramai 69 orang pelajar daripada kelas STE 1A, STE 1B, STE 1C dan STE 2A telah terlibat dengan aktiviti Penerapan Rohaniah. Aktiviti kerohanian ini telah diadakan di dewan syarahan kolej komuniti. Manakala pensyarah yang terlibat untuk aktiviti ini ialah En Mohd Syukur, En Azrul Hisham dan Pn Nor Azira. Melalui aktiviti ini pelajar telah didedahkan dengan ceramah kerohanian yang disampaikan oleh En Mohd Syukur. Program ini adalah bertujuan untuk membentuk kerohanian dan sahsiah para pelajar STE. Program ini dirangka kerana kepekaan para pensyarah setelah melihat kepincangan dari segi pengetahuan agama islam dikalangan para pelajar. Antara objektif yang ingin dicapai ialah membentuk kesedaran dikalangan pelajar tentang kepentingan berpegang teguh nilai islam dalam kehidupan harian. Selain itu dapat membina budaya belajar positif dikalangan pelajar disamping dapat memupuk suasana yang islamik dikalangan pensyarah dan pelajar.

Akhir program ini, diharapkan agar pelajar mendapat lebih kesedaran untuk beramal dengan budaya kerja cemerlang seperti menepati masa, menghormati pensyarah, tidak meninggalkan solat dan menghargai islam sebagai anugerah Allah taala. Secara keseluruhannya program seperti ini wajar dilaksanakan setiap semester. Antara cadangan penambahbaikan ialah mewajibkan kehadiran pelajar dalam program yang dijalankan dan sesiapa yang tidak hadir bersebab akan dikenakan tindakan disiplin.


Pelajar-pelajar mendengar ceramah


En Mohd Syukur sedang menyampaikan ceramah

AKTIVITI MENGUJI MINDA

5 Oktober 2009, Isnin- Seramai 70 orang pelajar terlibat dengan aktiviti menguji minda yang diadakan di dewan syarahan Kolej Komuniti Bandar Darulaman. Pelajar yang terlibat ialah daripada kelas STE 1B,STE2B dan STE4B. Manakala seramai 4 orang pensyarah yang terlibat bagi menjayakan program ini yang terdiri daripada Pn Rosmawati, Pn Turina, Pn Maizatul Aqmam dan Pn Hairun Nani. Pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan setiap kumpulan terdiri daripada 10 orang pelajar. Soalan yang dikemukakan dipaparkan pada skrin putih dan pelajar diberi masa selama 5 saat untuk menjawab dengan cara menulis jawapan pada kertas jawapan dalam kumpulan masing-masing. Rasional aktiviti ini dijalankan ialah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk berbincang sesama ahli dalam kumpulan untuk mendapatkan jawapan yang betul.

Wednesday, September 30, 2009

AKTIVITI KELAB-KEPIMPINAN

29 September 2009, Isnin-seramai 77 orang pelajar kursus STE telah terlibat dalam aktiviti kepimpinan yang dianjurkan oleh unit STE. Pelajar yang terlibat adalah daripada kelas STE 1A,STE 2A dan STE 4A. Manakala pensyarah yang terlibat untuk menjayakan program ini diketuai oleh En Mohd Irwan Bin Mustafa Kamal Basha, En Hafiz, En Salleh dan Pn Suraya. Didalam aktiviti ini, Pelajar-pelajar STE 4A telah diberikan pendedahan berkaitan kepimpinan dengan tayangan CD kepimpinan yang bertajuk 45 Langkah Menjadi Pemimpin Cemerlang. Seterusnya pelajar STE 1A dan STE 2A telah membuat aktiviti merekacipta sesuatu produk dengan menggunakan kabel wayar. Pelajar dapat menghasilkan model dengan baik sekali berkat daripada kerjasama yang wujud dalam kumpulan masing-masing.Tujuan diadakan aktiviti seperti ini adalah untuk memupuk budaya kepimpinan dalam pasukan disamping mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah.


Pelajar-pelajar mendengar taklimat berkaitan aktiviti STE


Pelajar-pelajar membuat model dengan menggunakan kabel

Friday, September 25, 2009

PROGRAM 5S DAY

7 September 2009, Isnin- Semua pelajar STE semester 1, 2 dan 4 terlibat dengan program 5S Day. Manakala pensyarah STE yang terlibat terdiri daripada Pn Maizatul Aqmam, Pn Rosmawati, En Salleh dan Pn Nor Azira. Objektif program ini ialah untuk memupuk budaya sentiasa menjaga kebersihan di dalam kelas dan bengkel. Program ini bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengahari. Pelajar-pelajar dibahagikan oleh pensyarah yang terlibat mengikut kelas masing-masing untuk membersihkan bengkel dan bilik kuliah. Bilik kuliah yang terlibat ialah bilik kuliah 1, bilik kuliah 2 dan bilik kuliah 3. Manakala bengkel yang terlibat ialah bengkel Bidara, Apple, Delima, Manggis dan Nyiur. Pelajar-pelajar bergotong royong menyapu, mengelap dan menyusun peralatan yang terdapat didalam bengkel dan bilik kuliah. Peralatan untuk kerja-kerja pembersihan di sediakan oleh unit STE. Amalan 5S ini perlu diteruskan pada setiap semester untuk memastikan peralatan dan kebersihan bilik kuliah dan bengkel sentiasa dijaga dan disusun rapi.

Logo 5S unit STE KKBD

Thursday, June 25, 2009

HARI KELUARGA STE

06 Jun 2009, Sabtu- seramai 18 buah keluarga telah menghadiri program Hari Keluarga STE yang telah diadakan di Hutan Lipur Bukit Wang, Jitra, Kedah. Objektif program ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara pensyarah-pensyarah STE. Program telah bermula seawal 7.30 pagi dan berakhir pada pukul 3.30 petang. Jawatankuasa program ini dinaungi oleh Pn Norazira binti Md Yusof, manakala pengarah program ialah En Mohd Syukur. Cik Bazlina sebagai setiausaha dan bendahari program ialah Pn Haslina binti Hashim. Seterusnya ahli jawatankuasa pendaftaran yang diketuai oleh En Firdaus, ahli jawatankuasa fasiliti dan peralatan diketuai oleh En Mohd Irwan, ahli jawatankuasa sukaneka diketuai oleh En Mohd Hafiz, ahli jawatankuasa makanan yang diketuai oleh Pn Turina binti Tumeran, ahli jawatankuasa dokumentasi diketuai oleh En Shahreen bin Mansor dan ahli jawatankuasa keselamatan yang diterajui oleh En Mohd Irwan bin Mustafa Kamal Basha. Pengangkutan untuk setiap keluarga adalah menaiki kenderaan sendiri. Bayaran yang dikenakan untuk dewasa ialah RM 22.00 dan untuk kanak-kanak ialah RM 5.00.

acara sukaneka bawa bola pingpong dalam sudu...

Perjalanan program Hari Keluarga ini sangat menarik. Setiap keluarga membawa makanan sendiri untuk sarapan pagi dan semasa sarapan pagi semua keluarga dapat bertukar-tukar menu sesama ahli keluarga yang lain. Antara menu sarapan pagi yang dibawa ialah mee goreng, bihun goreng, kuih muih dan sandwish. Selepas sarapan pagi, aktiviti sukaneka dimulakan dengan pertandingan kategori kanak-kanak iaitu memecah belon, diikuti pertandingan bayi comel, isi air dalam botol, bawa bola dalam sudu, makan buah epal, memancing botol dan membaling botol yang telah disusun. Manakala untuk acara dewasa lelaki ialah makin jauh makin sayang, mengikat kaki dan bowling buah kelapa.


Semasa aktiviti sukaneka dijalankan, ada keluarga yang sibuk membuat persiapan untuk makan tengahari. Menu makan tengahari pada hari tersebut ialah ikan bakar, ayam bakar,sotong bakar, udang bakar dan sayur kobis. Upacara penyampaian hadiah di jalankan sejurus tamat sahaja sukaneka. Hadiah-hadiah telah ditaja sepenuhnya oleh Ketua Program iaitu Pn Nor Azira dan disampaikan oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran iaitu Pn Harlina. selepas selesai majlis penyampaian hadiah, semua keluarga menikmati makan tengahari di dalam suasana yang menyeronokkan dan menghiburkan. Masa inilah digunakan sepenuhnya oleh setiap keluarga yang mengenali ahli keluarga rakan sekerja dengan lebih rapat lagi. Selepas menjamu selera, setiap orang berkemas dan membasuh kembali peralatan yang telah digunakan untuk memasak. Walaupun badan terasa penat tetapi memandang karenah anak-anak yang menghiburkan membuatkan setiap keluarga berasa terhibur. Program ini tamat pada pukul 3.30 petang . Harapan dari setiap keluarga supaya hari keluarga ini dapat diadakan pada setiap tahun agar dapat mengeratkan hubungan sesama staf dan ahli keluarga masing-masing.

Makan buah apple tanpa guna tangan...sedap..

Wednesday, March 25, 2009

CERAMAH KERJAYA PELAJAR SEMESTER 4

24 Mac 2009, Selasa- Pelajar-pelajar semester 4 seramai 63 orang menjalani program ceramah kerjaya yang bertempat di Dewan Syarahan KKBD. Program tersebut bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengahari. Penceramah jemputan untuk ceramah ini adalah pensyarah daripada Akademi Binaan Malaysia iaitu En Mad Noor. Beliau menerangkan tentang kerjaya yang bersesuaian dengan pelajar dan peluang yang bakal di perolehi oleh pelajar selepas tamat pengajian di Kolej Komuniti. Pelajar adalah digalakkan untuk memohon pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menambah kemahiran yang sedia ada sebelum bekerja dan mengambil kekompetenan dalam bidang kemahiran yang diminati. Dengan adanya kursus seperti ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengatur masa depan mereka. Semoga kursus seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

LAWATAN KERJA PENSYARAH KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN KE STESEN JANAKUASA CHENDEROH

12 Mac 2009, Khamis – seramai 10 orang Pensyarah kursus STE telah mengadakan lawatan kerja ke Stesen Janakuasa Chenderoh. Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk melihat sendiri stesen janakuasa tersebut dan melihat perlaksanaan 5S yang digunapakai disana.


Stesen Janakuasa Chenderoh terletak di Sungai Perak kira-kira 52km ke hilir Stesen Janaelektrik Hidro Kenering dan kira-kira 34km melalui jalanraya ke utara Bandar Diraja Kuala Kangsar. Pembinaan empangan telah mewujudkan sebuah kolam air seluas lebih kurang 21km persegi pada bekalan air penuh. Dengan mempunyai kawasan tadahan seluas 6500km persegi, empangan ini dapat menakung 95,000,000 meter padu air digunakan sebagai simpanan aktif. Stesen ini telah beroperasi pada Jun 1930 dan stesen ini adalah salah satu daripada stesen hidro yang tertua di Asia Tenggara. Empangan ini adalah jenis Hollow Amberson yang berasaskan kepada granit. Ianya adalah struktur konkrit tetulang yang mempunyai aras kemuncak 59.8m. panjang keseluruhan empangan ialah 390m termasuk 209m alurlimpah dan 305m pembukaan bebas untuk sector gate. Keupayaan maksima lepasan empangan ini direkabentuk untuk 13,314 meter padu sesaat.

Stesen janaelektrik Chenderoh mempunyai 4 unit generator menggunakan kuasa air. Tiga unit generator adalah terdiri daripada mesin jenis tarbin Francis berkeupayaan 10MW, 136.4rpm,11.1kVA, 0.9AK dengan 50Hz arus ulang alik setiap satu. Satu unit generator mesin no 4 adalah jenis turbine propeller berkeupayaan 8MW,200rpm disambung menerusi kotak gear 1:5 kepada janakuasa aruhan berkelajuan 1,100 rpm. Unit ini ditempatkan dalam bangunan yang berasingan dibahagian hilir alurlimpah yang disebelah kiri sungai. Mesin ini juga telah dipertingkatkan keupayaan dari segi keselamatan serta kemudahan operasi kawalan jauh (remote control) dari BGCC Bersia.

Projek pemulihan yang dilaksanakan bertujuan untuk melanjutkan lagi usia operasi stesen janaelektrik Chenderoh untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 50 tahun lagi atau lebih. Bidang kerja kontrak pemulihan merangkumi penukaran kesemua loji penjanaan yang sedia ada yang telah berusia 65 tahun kepada yang baru dengan keupayaan yang sama iaitu 3 x10MW dan juga pembinaan lapangan suis baru 132kv untuk menggantikan lapangan suis 66kv. Kerja-kerja pemulihan ini meningkatkan lagi kecekapan, berdayaharap dan keselamatan operasi ke tahap piawai masa kini. Dengan adanya loji penjanaan yang moden dan cekap, purata keluaran tahunan tenaga stesen janaelektrik dijangkakan akan meningkat kira-kira 7% kepada 263GWj dari 248GWj.


Setelah menempuh pelbagai kesulitan, stesen ini berjaya merangkul pelbagai kejayaan demi kejayaan, dengan mendapat anugerah Emas dari Persatuan Keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Sementara didalam audit SEMS stesen ini telah mendapat 5 bintang berturut-turut iaitu dari tahun 2001 hingga 2004. pada 20 jun 2003, stesen ini telah dianugerahkan persijilan ISO 14001 oleh pihak SIRIM. Disamping itu ia telah merangkul tempat pertama didalam pertandingan lanskap bagi kategori bangunan swasta peringkat negeri perak pada tahun 2003 dan 2004. stesen janaelektrik Chenderoh juga telah mendapat persijilan ISO 9001:2000 dibawah pengurusan stesen-stesen janaelektrik Sungai Perak.

Banyak perkara baru yang dapat dipelajari oleh pensyarah-pensyarah yang mengikuti lawatan ini berkaitan perlaksanaan 5S ditempat kerja. Dengan amalan 5S yang berterusan dapat memastikan peralatan-peralatan sentiasa disusun dan dikemaskini dan mudah di cari. Objektif lawatan ini adalah untuk memantau dan melihat bagaimana perlaksaan 5S di Chenderoh seterusnya dapat dijadikan contoh amalan 5S tersebut di KKBD.


Label pada setiap bahagian kabinet memudahkan rujukan

Penyusunan fail dan label fail mengikut sistem 5S di TNB Chenderoh


Wednesday, February 25, 2009

PROGRAM FINISHIING SCHOOL

02 – 05 Februari 2009, Isnin – Bertempat di Dewan Syarahan dan bengkel pemasangan elektrik berlangsung program finishing school yang disertai oleh lepasan pelajar STE yang telah bekerja dalam bidang pemasangan elektrik. Program tersebut diadakan bertujuan untuk memberikan nilai tambah dari segi kemahiran dan kekompetenan kepada lepasan pelajar STE disamping memenuhi kehendak Pendidikan Sepanjang Hayat seperti dalam plan strategik Politeknik dan Kolej Komuniti. Program ini dibahagikan kepada 2 kumpulan pelajar memandang ianya mendapat sambutan yang menggalakkan. Kumpulan kedua mendaftar pada 16 Februari 2009 di Dewan Syarahan, KKBD. Kelas amali bermula pada 16 Februari dan berakhir pada 19 Februari 2009.Kerja-kerja amali berlangsung di bengkel pemasangan elektrik. Objektif program ini ialah untuk menambah kemahiran sedia ada bekas pelajar untuk menghadapi bidang pekerjaan yang mencabar.

Taklimat Untuk Pelajar


Sunday, January 25, 2009

PERJUMPAAN PENSYARAH STE DAN PELAJAR STE

22 Januari 2009, Khamis – Perjumpaan antara pensyarah dan pelajar STE diadakan pada pukul 10.00 pagi bertempat di Dewan Syarahan, KKBD. Semua pelajar diwajibkan untuk hadir dan kedatangan pelajar akan diambil semasa perjumpaan tersebut. Manakala kelas untuk pengajaran dan pembelajaran ditangguhkan sementara waktu. Tujuan utama perjumpaan tersebut diadakan ialah untuk memastikan setiap pelajar STE mengenali pensyarah-pensyarah STE yang terdapat di KKBD disamping dapat memupuk hubungan yang lebih mesra antara pelajar – pelajar bagi semua semester. Selain itu juga perlantikan AJK juga dijalankan untuk memilih wakil-wakil setiap kelas dan pemilihan ini dilakukan oleh pelajar sendiri dan dibantu oleh pensyarah kelas masing-masing kerana pensyarah kelas saja yang dapat mengenali pelajar-pelajarnya.

Para pelajar mendengar taklimat

Sesi soal jawab

Tuesday, January 20, 2009

MINGGU SILATURRAHIM PELAJAR SEMESTER 2 DAN SEMESTER 4

13 Januari 2009 sehingga 15 Januari 2009, Selasa hingga Khamis – Minggu Silaturrahim pelajar semester 2 dan 4 diadakan bertempat di Surau Pantai Halban. Aktiviti ini bermula pada 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengahari. Pelajar bagi kedua-dua semester digabungkan sekali dalam semua aktiviti yang dijalankan. Antara aktiviti yang dijalankan pada 14 Januari 2009 ialah ceramah bertajuk halatuju pelajar yang disampaikan oleh Tn Hj Zulkifli Zain dan En Saifuddin. Manakala slot seterusnya ialah Taklimat ISO yang disampaikan oleh penyelaras ISO Sijil Teknologi Elektrik. Pada 15 Januari 2009 (Khamis) berlangsung taklimat Disiplin bersama Pegawai Disiplin STE yang disampaikan oleh En Mohd Irwan bin Mustafa Kamal Basha. Seterusnya pada pukul 11.00 pagi hingga 12.30 tengahari berlangsung taklimat dan aktiviti 5S. Pelajar dibahagikan mengikut semester dan kelas. Bagi pelajar semester 2 taklimat berlangsung di Bengkel Pemasangan Elektrik (PE) manakala pelajar semester 4B dan 4C di Bengkel Teknologi Elektrik (TE) dan Bengkel Elektrik dan Elektronik (EE1) untuk pelajar semester 4A.



Gambar 1: Pelajar-pelajar baharu mendengar taklimat

Thursday, January 1, 2009

Pengenalan Program Sijil Teknologi Elektrik (STE)

Pengenalan Kursus

Kursus Teknologi Elektrik (Pemasangan dan Perkhidmatan) menawarkan pengetahuan teori dan amali dalam bidang teknologi elektrik kuasa, elektronik, kawalan motor dan komputer. Kurikulum kursus ini meliputi gabungan modul-modul dalam bidang elektrik, elektronik, kawalan motor dan juga komputer. Silibus kursus ini merangkumi kaedah penjanaan bekalan elektrik, pengendalian dan kawalan mesin elektrik, pemasangan dan pendawaian elektrik, penyenggaraan alatan domestik dan sistem penggera. Selain itu, modul-modul elektronik merangkumi asas elektronik, sistem berdigit dan penyenggaraan peralatan elektronik. Manakala modul-modul komputer terdiri daripada aplikasi komputer dan perisian Autocad. Latihan yang disediakan akan menambahkan kemahiran teknikal pelajar dan disesuaikan mengikut perubahan teknologi dari semasa ke semasa. Pembelajaran dan pengajaran dititikberatkan kepada kerja-kerja amali dan projek-projek berkaitan.

Objektif Unit

Di akhir kursus ini, pelajar dapat:

  • Mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa menjalankan kerja.
  • Menjalankan kerja-kerja pemasangan domestik dan industri.
  • Menyenggara suatu sistem kawalan motor.
  • Mengaplikasikan teori elektronik dalam suatu sistem kawalan elektronik.
  • Menggunakan perisian Autocad untuk membuat lukisan kejuruteraan.

Senarai Nama Pensyarah Program Sijil Teknologi Elektrik (STE)


Carta Organisasi Program STE